Impianku hari ini hanyalah secebis penghargaan daripada insan yang kuhargai atau hanyalah seuntai ucapan untuk dihargai. Malangnya, impian ini hanyalahh sekadar fantasi atau imaginasi yang sukar untuk menjadi realiti. Sering kali aku mendahagakan kesempurnaan dalam kehidupan dan penghargaan daripada teman-teman, terutamanya setelah genap usiaku dimamah waktu, untuk singgah ke suatu destinasi sebelum tiba ke destinasi penentuan. Tidak siapa pun tahu akan impianku ini, tidak sesiapapun yang memahaminya; seperti aku yang cuba memahami impian mereka. Pernah aku terkilan dengan sikap mereka. Aku terkilan bukan kerana hampa, tapi aku terkilan kerana aku kecewa. Kerap kali aku memberi penghargaan kepada insan-insan istimewa, tapi tidak pernah pun mereka menghargai setiap penghargaanku. Kini, ketika tiba masanya aku memerlukan sebuah penghargaan, tiada sesiapa pun memberi atau cuba memberi penghargaan yang kuimpikan. Mungkin ada hikmah yang tersembunyi. Pasti ada jawapan bagi persoalan ini; mungkin aku diduga lagi dengan dugaan kehilangan penghargaan daripada teman dan kehilangan kesempurnaan kehidupan lantaran dosa-dosaku terhadap insan dulu. Andai aku tidak layak mendapat kesempurnaan cukuplah sekadar dikurniakan kesederhanaan dalam hidup. Andai aku tidak layak diberi penghargaan, cukuplah aku sekadar dijadikan ingatan atau kenangan. Coretan ini bukanlah sebagai dendaman tapi, hanyalah luahan perasaan seorang insan yang tidak dihargai dan sering mengimpikan agar dihargai. ‘’Aku berharap, mereka semua dapat menghayati impianku ini yang ingin dihagai.’’ Aku amat memerlukan dorongan daripada teman seperjuangan. Aku juga amat mendambakan kesetiaan daripada mereka. Setelah aku ‘tiada’ lagi nanti, berilah penghargaan kepadaku walaupun hanya sebahagian daripada kalam-kalam Tuhan dan sentiasalah terkenangkan diriku. ‘’Ingatlah, di sini kita pernah bertemu..... dan sesungguhnya aku sering menghargai mereka semua.’’ Renungilah maksud tersirat, ucapan istimewaku sempena hari ini.....
· Aku dilahirkan kerana pengabdian
§ Aku dilahirkan atas nama cinta dan kasih sayang
· Aku dilahirkan dengan rahmat Tuhan
· Aku dilahirkan untuk menemani kalian
§ Aku dilahirkan sebagai penyeri dan penyebab suram kehidupan
· Selamat meniti usia baru untukku
26 Ogos 2004