"being myself is a weakness,looking to myself is a shame,knowing myself is a failure.."

Followers

Thursday, 10 July 2014

Harapan Dan Kekecewaan

‘’Tidak semua impian kita akan tercapai dan jika kita semakin berharap, semakin kita akan kecewa.’’ Kata-kata ini masih terngiang-ngiang di telingaku. Ia diucapkan oleh seseorang yang dikecewakan oleh harapannya. Akan kugenggam kata-kata ini kerana aku pernah merasainya, kerana aku sering kecewa dengan harapan yang tidak disambut dengan kejayaan dan kegembiraan. Saat ini aku begitu kecewa kerana beberapa detik yang lalu, aku dikecewakan; kecewa dalam rahmat Tuhan, juga kecewa dalam harapanku. Mungkin salahku kerana aku bertepuk sebelah tangan; mengharap sesuatu yang tak mungkin tercapai. Mungkin suratan dalam hidup, aku dikecewakan atau mungkin harapanku tidak dipandu oleh keimanan. Aku sering melupai Tuhan ketika impianku menjadi kenyataan. Sehinggakan aku lebih menghargai kejayaan berbanding dengan Tuhan. Baru semalam, harapan ini membuat aku tersenyum. Baru semalam, aku berasa, harapan ini bakal menceriakanku. Entah mengapa kini, harapan ini seolah-olah ‘membenciku’. Aku hairan, mengapa setelah lama harapan ini tersemai di dalam hatiku tiba-tiba sahaja ia ‘memperlekehkanku’ dan mahu ‘menjauhiku’? Aku tetap pasrah walaupun pada hakikatnya hatiku terkilan dan tersentuh. Aku kembali mencari kesilapan yang telah kulakukan sehingga menyebabkan setiap harapan yang kudekati, pasti akan meninggalkanku. Aku tersedar dan terjaga daripada mimpiku ini. Hari ini, aku bertekad untuk tidak lagi melupai Tuhan. Aku tidak lagi akan berharap pada ‘harapan’. Aku tidak lagi akan mengulangi kesilapan yang sering kuulangi. Hari esok dan seterusnya, aku bertekad untuk sentiasa mengingati Tuhan selagi diizinkanNya. Aku akan hanya berharap kepada Tuhan yang takkan mengecewakan insan. Aku juga akan memperbaiki kesilapan lalu. ‘’Ya Allah, jadikanlah aku pada hari ini dan seterusnya, insan yang tidak lagi dikecewakan.’’ Inilah harapan yang hakiki kerana harapan selain berharap kepada Tuhan, hanyalah harapan diiringi dengan kekecewaan. Memang benarlah, harapan itu buta; tidak mengenal apakah tujuan harapan dan kepada siapakah kita mengharapkan.

2004

No comments:

Post a Comment